Tanya Apa Saja Di Formspring

Formspring adalah sebuah aplikasi web yang membolehkan sesiapa sahaja bertanya  soalan kepada anda. Anda boleh memilih untuk menjawab atau tidak akan soalan yang diberi. Jika anda memilih untuk menjawab, jawapan tersebut akan dipaparkan kepada umum.

Baru-baru ini Formspring telah menjadi popular kembali, mungkin kerana ia telah menjadikan sesi soal-jawab seperti ini sangat mudah. Malah anda boleh bertanyakan soalan di Formspring secara anonymous, tanpa memerlukan sebarang akaun.

Saya dapati Formspring ini sangat seronok digunakan bersama orang yang anda kenal. Anda boleh gunakannya untuk mengenali kawan anda dengan lebih dekat. Malah, mungkin dengan menjawab soalan dari orang lain, anda boleh mengenali diri anda sendiri dengan lebih dekat :)

Cukur Kepala Demi Meraih Sumbangan

Sewaktu saya belajar di Pulau Pinang, saya selalu terserempak dengan kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Ada yang merayau di stesen bas, meminta sedekah dari seorang ke seorang yang lain. Ada yang menyelongkar tong sampah, mencari apa sisa makanan yang tinggal.

Namun satu situasi yang paling membuat saya sebak, apabila saya terlihat seorang ibu bersama anak-anaknya duduk di kaki lima. Ayah tiada. Si ibu hanya duduk memandang ruang kosong. Anak-anak yang tidak berselipar, tidak berbaju, dan berseluar lusuh berlari-lari sambil ketawa. Sunggih naif, mereka tak sedar apa nasib yang bakal menimpa.

Saat itu, hati saya merintih. Kalaulah saya boleh membantu. Kalaulah saya boleh hulurkan tangan dan pimpin anak kecil itu, beritahu dia “semuanya akan baik-baik sahaja. Kamu akan dapat ke sekolah macam budak-budak yang lain. Kamu akan dapat bermain dengan kawan-kawan yang sebaya dengan kamu. Kamu akan belajar rajin-rajin dan jadi seorang yang berjaya”

***

Namun, memang mudah untuk kita lupa akan nasib kanak-kanak sebegini. Kita terlalu taksub dengan hal diri sendiri – tentang baju baru yang perlu dibeli, tentang kasut paling latest dan stailo sekali, tentang burger baru di McD. Sedangkan di luar sana ada kanak-kanak yang ditelanjangkan kerana mencuri buah untuk dimakan.

Jadi saya seru sekalian pembaca, sedarlah dari ketaksuban kita, dan cubalah buat sesuatu untuk membantu. Setiap kanak-kanak yang lahir di dunia ini berhak mendapatkan pelajaran, tidak kira status, agama, atau bangsa mereka.

Ahad ini, 28 Mac 2010, saya akan menyertai Operation Botak demi meraih derma buat menampung pelajaran untuk kanak-kanak di Tuaran dan Kota Belud, Sabah. Kepala saya akan dicukur licin demi menyatakan sokongan.

Saya menyeru para pembaca untuk turut sama menghulurkan bantuan kepada Operation Botak ini dengan menyumbang di akaun bank berikut:

Nama Akaun: World Vision Malaysia Berhad
Nombor akaun Maybank: 5146 0013 9710

P/S: Maaf, sebenarnya saya emo waktu menulis entri ni. Tapi waktu tangkap gambar tu kena senyum. Sebenarnya saya emo, tau.

Kemaskini: Gambar saya setelah botak

Memohon Kemasukan PJJ Di UTM

appy-utm.png

Jika anda ingin memohon kemasukan bagi program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Universiti Teknologi Malaysia, anda boleh klik di sini.

Program ini juga dikenali sebagai Program Pengajian Separuh Masa (part-time), dan ditawarkan untuk Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

Anda boleh melihat senarai kursus yang ditawarkan beserta tempat pembelajarannya.

Nota: Entri ini bertujuan untuk memudahkan anda mencari link untuk ke borang kemasukan. Biasa la website kerajaan, kena belek 14 kali baru jumpa benda yang nak dicari.

750 Words: Luahkan Apa Yang Dirasa Dalam 750 Patah Perkataan

Bagi sesetengah orang (termasuk saya), menulis merupakan satu bentuk terapi kerana dapat menghuraikan apa yang terbuku di dalam hati dan minda. Malah, dikatakan bahawa menulis diari dapat membantu perkembangan peribadi seseorang individu.

750 Words adalah sebuah aplikasi web yang dibina untuk tujuan ini. Setiap hari, anda dikehendaki menulis apa sahaja yang terlintas di dalam kepala anda sebanyak 750 patah perkataan.

Konsep ini berbeza daripada blogging kerana anda menulis untuk diri sendiri, jadi anda tidak perlu menapis apa yang ingin diperkatakan.

Yang menariknya, 750 Words dapat memberitahu pelbagai statistik daripada apa yang dituliskan seperti perasaan anda, apa yang anda risaukan, dan perkataan yang selalu digunakan. Statistik ini dikira apabila anda menulis dalam Bahasa Inggeris.

Bagi saya, 750 Words ini adalah cara yang menarik untuk menggalakkan saya menulis setiap hari, seterusnya membantu perjalanan hari-hari saya. Saya akan cuba lihat sejauh mana kesannya nanti.

Layari 750 Words dan amalkan budaya menulis. Kerana ianya melegakan :)

(via Smarterware)