Monthly Archives: September 2011

Catat dan cari nota secara mudah dengan ResophNotes

ResophNotes adalah sebuah aplikasi mencatat nota yang dilaksanakan dengan indah sekali. Keistimewaanya terletak pada betapa mudahnya untuk memulakan nota, serta mencarinya kembali.

Dua halangan terbesar dalam memulakan nota adalah memberi tajuk, dan menyimpan fail (sebab itulah kadang-kala kita lebih gemar mencatat nota di Sticky Notes berbanding Notepad/Word). ResophNotes menghapuskan halangan ini dengan cara berikut:

  • Tajuk bagi nota baru diberi secara automatik berdasarkan kandungan nota.
  • Nota akan disimpan secara automatik sambil anda menaip.

Untuk merujuk kembali nota yang lalu, anda tidak perlu menyemak satu-persatu nota yang telah ditulis, sebaliknya gunakan sahaja fungsi carian. Fungsi carian pada ResophNotes adalah sangat cemerlang kerana:

  • Hasil carian akan dipaparkan secara serta-merta sewaktu anda menaip.
  • Carian dibuat ke atas kandungan nota, jadi apa sahaja kata kunci yang anda gunakan untuk mencari, biasanya anda akan temui nota yang diinginkan.
  • Kotak carian adalah sama dengan kotak tempat anda memulakan nota baru, mengelakkan nota yang sama ditulis dua kali.

ResophNotes adalah contoh bagaimana sebuah perisian sepatutnya dibina, di mana saya tidak perlu fikir akan pengurusan nota seperti memberi tajuk atau menetapkan kategori/tag. Sebuah perisian yang bagus membenarkan anda menggunakannya tanpa perlu banyak memikirkan tentang perisian itu sendiri, supaya anda boleh menumpukan perhatian kepada tugas yang anda ingin lakukan.

Tukarkan fail video kepada DVD dengan DVD Flick

Baru-baru ini saya diminta untuk menukarkan fail-fail video dari YouTube ke dalam sekeping DVD, untuk dimainkan oleh pemain DVD. DVD ini juga hendaklah diulang secara automatik dan berterusan.

Kebanyakan pemain DVD mempunyai fungsi ulangan mereka yang tersendiri, namun kadang-kala ia tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Jadi lebih senang jika saya menetapkan ulangan tersebut pada DVD itu sendiri. Setelah mencuba pelbagai perisian, akhirnya saya berjumpa dengan DVD Flick yang mampu melakukan tugas ini.

DVD Flick adalah sangat mudah untuk digunakan. Anda boleh memasukkan video dengan menekan butang “Add title…” dan susun aturan video dengan butang “Move up”/”Move down”.

SNAGHTML1d639dd

Bagi memastikan DVD anda boleh dimainkan pada pemain DVD di Malaysia, tekan butang “Project Settings” dan tekan “Video”. Tetapkan “Target format” kepada “PAL”

Bagi memastikan DVD diulang secara automatik, tekan butang “Project Settings” dan tekan “Playback”. Tetapkan seperti berikut:

  • Pada bahagian “After a title has finished playing”, pilih “Play the next title”
  • Tandakan kotak “Loop to first title when done playing with last”

Apabila puas hati dengan video-video anda, tekan butang “Create DVD” untuk menghasilkan DVD.

DVD Flick boleh didapati secara percuma, jadi anda tidak perlu risau akan sebarang had atau watermark yang akan diletakkan pada DVD yang dihasilkan.

Cara untuk muat turun apa sahaja filem dan lagu

Dengan kelajuan Internet yang semakin pantas di Malaysia, pasar malam kini hanyalah tempat untuk membeli sate dan bukan lagi DVD cetak rompak. Nikmati kuah kacang kegemaran anda sambil menonton filem yang anda download menggunakan langkah-langkah di bawah:

Cara-cara untuk cari dan download movie/lagu dari Internet

1. Lancarkan jDownloader terlebih dahulu.

2. Buat carian di Internet menggunakan nama filem/lagu dan tambahkan perkataan ‘rapidshare’ Contohnya saya taipkan “Before Sunrise rapidshare” dan enjin carian akan memaparkan pelbagai hasil, klik mana-mana pautan yang diberikan (laman kegemaran saya adalah Filestube)

3. Salin pautan yang diberikan pada laman web tersebut. Jangan muat turun melalui pelayar web anda, sebaliknya gunakan jDownloader.

4. Pautan yang anda salin tadi akan ditangkap oleh jDownloader secara automatik, pada bahagian Linkgrabber. Klik pada butang ‘Play’ untuk memulakan muat turun.

Apa yang sangat berguna pada jDownloader adalah, ia akan mengatasi semua had dan masa menunggu yang selalunya diberikan oleh laman perkongsian fail seperti Rapidshare dan Megaupload. Jadi setelah anda memulakan muat turun, anda hanya perlu tunggu sehingga iany selesai. Namun terdapat juga sesetengah laman web yang memerlukan anda memasukkan captcha, yang mana anda boleh taipkan ia pada jDownloader itu sendiri.

Selain memasukkan perkataan Rapidshare pada enjin carian, anda juga boleh cuba laman web lain seperti Megaupload, Filesonic, dan banyak lagi. Untuk mencari lagu pula, Mediafire adalah laman web yang paling popular.

Jika anda disekat daripada membuka Filestube, Rapidshare, dan sebagainya – gunakan kaedah Google DNS untuk melepasi sekatan itu.

Nota: Artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja, Sembang Komputer tidak menggalakkan anda untuk mendapatkan karya cetak rompak. Jika anda suka dengan filem/lagu yang anda dapati, belilah yang asli, dan Yusri KRU akan mengucapkan terima kasih kepada anda.

Masukkan maklumat mengenai lagu secara automatik dengan Windows Media Player 12

Selalunya bila anda download lagu ataupun dapatkan daripada kawan, akan terdapat maklumat ID3 yang tidak lengkap seperti nama album, nama artis, dan kulit album.

Anda boleh menambah maklumat ini sendiri pada Windows Media Player 12, atau anda boleh biarkan WMP12 melakukannya secara automatik.

Terlebih dahulu, pastikan WMP12 boleh mendapatkan maklumat daripada Internet:

1. Pergi ke menu Tools > Options.

2. Tandakan pada kotak “Retrieve additional information from the Internet”

Ikuti langkah-langkah mudah ini untuk mengisi maklumat mengenai lagu-lagu anda secara automatik:

1. Klik kanan pada album dan pilih “Find album info”

2. Pilih hasil carian yang paling hampir dengan album yang anda pilih, dan tekan Next.

3. Pastikan pilihan anda betul, dan tekan Finish. Maklumat album akan dikemaskini.

Bagaimana nak cari dan pasang sarikata bagi fail video

Saya ni rabun telinga orangnya, jadi bila menonton filem Inggeris di komputer, terkebil-kebillah saya cuba memahami apa yang dibualkan. Sebab itu perkara pertama yang saya buat apabila selesai download cerita wayang dari Internet, adalah mencari sarikatanya.

Sarikata ini boleh anda download dengan mudah. Contohnya, saya taipkan “Yes Man subtitle” dan enjin carian akan memaparkan pelbagai link. Pilih mana-mana link dan teruskan download (laman kegemaran saya adalah Subscene).

Fail yang anda download biasanya adalah dalam bentuk .zip. Buka fail ini untuk mendapatkan fail .srt, kemudian letakkan fail .srt tersebut ke dalam folder yang sama dengan fail video. Pastikan nama kedua-dua fail itu juga sama.

Gunakan pemain video seperti VLC bagi membolehkan sarikata ini dipadankan dengan fail video. Selamat menonton!

Selesaikan masalah komputer yang asyik restart dalam Safe Mode

Jika komputer anda asyik restart dalam Safe Mode dan anda tidak tahu apa sebabnya, anda boleh membaikinya kembali dengan mudah, ikuti langkah di bawah:

1. Klik pada Start Menu, dan taip Run.

2. Taip msconfig dan klik OK.

Taip 'msconfig' ke dalam kotak Run

3. Pada tab Boot, kosongkan kotak “Safe boot” dan klik OK.

Buang tanda pada kotak 'Safe boot'

Restart komputer anda dan Windows akan masuk kembali seperti biasa, tanpa Safe Mode.