
Sewaktu Google Chrome mula-mula diperkenalkan, saya agak pesimistik dengan kebolehannya. Dengan saingan dari pelayar web sedia yang sengit, agak sukar bagi sebuah pelayar web baru untuk mendapat tempat di kalangan pengguna. Namun kini, ternyata jumlah pengguna Google Chrome meningkat dalam masa yang singkat sehingga mengatasi pelayar web yang lebih senior seperti Opera dan Safari.
Namun, adakah kualiti pelayar web ini berpadanan dengan populariti yang telah diraih? Atau mungkin orang ramai beralih kepada Google Chrome semata-mata kerana nama Google di dalamnya?
Untuk betul-betul merasai pelayar web ini, saya cuba menggunakannya selama seminggu dalam urusan Internet harian. Dalam artikel pada kali ini, saya akan ulaskan setiap fungsi dan ciri-ciri yang terdapat pada Google Chrome berdasarkan pengalaman saya.
